Inginkan percutian bajet? Kini, anda boleh menempah tiket penerbangan dan hotel bersama pada harga yang lebih murah. Dengan satu pakej, anda boleh merancang percutian dalam satu pembelian. Pilih dan suaikan pelbagai pakej lawatan daripada koleksi yang kami tawarkan untuk mendapatkan kombinasi yang sesuai mengikut impian anda.
Cameron Highlands adalah sebuah daerah yang terletak di negeri Pahang, Malaysia, ianya juga merupakan salah satu stesen bukit yang paling luas di negara ini. Meliputi saiz kawasan yang sama besarnya dengan negara jiran Singapura, Cameron Highlands berkongsi sempadan dengan Kelantan di bahagian utara dan Perak di bahagian barat. Ia juga merupakan titik paling tinggi yang boleh diakses dengan kereta di Malaysia pada ketinggian dari 1135 meter ke 1829 meter di atas paras laut, di mana iklimnya lebih sejuk daripada dataran rendah Semenanjung Malaysia, dengan suhu purata pada hari biasanya tidak melebihi 25 darjah Celsius dan pada waktu malam pula, ia boleh mencapai kira-kira 9 hingga 12 darjah Celsius.
Merupakan salah satu tempat pelancongan tertua di Malaysia, Cameron Highlands mendapat namanya dari ahli geologi dan penjelajah dari British yang bernama William Cameron. Sekitar tahun 1885, beliau ditugaskan oleh kerajaan British untuk memetakan kawasan sempadan Pahang-Perak dan menemui Cameron Highlands sepanjang melakukan ekspedisinya. Walau bagaimanapun, kerja pembangunan di kawasan ini tidak betul-betul bermula dan hanya satu jalan kecil yang menuju ke 'Cameron's Land' yang dibina melalui hutan semasa pemerintahan Sir Hugh Low sebagai Residen Perak.
Pembangunan ini hanya menyaksikan permulaan baru pada tahun 1925 apabila Sir George Maxwell mencadangkan Cameron Highlands untuk dibangunkan menjadi stesen lereng bukit dan bukan resort. Hasil daripada perjalanan selama sembilan harinya untuk mengkaji wilayah itu, sebuah ‘Agricultural Experiment Station’ pun ditubuhkan untuk melakukan kajian jika cinchona, teh, kopi, serta jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang dapat ditanam di daerah ini. Setahun kemudian, sebuah jawatankuasa pembangunan ditubuhkan untuk mengawasi pelbagai kerja-kerja pembangunan yang berlaku di sekitar kawasan Cameron Highlands. Setelah itulah baru Cameron Highlands terus berkembang dari masa ke masa hingga ke hari ini, walaupun kejadian Perang Dunia Kedua dan Darurat Malaya membantutkan sedikit proses pembangunan di situ.
Hari ini, Cameron Highlands terus kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan utama untuk aktiviti percutian dan jalan-jalan ketika hujung minggu, tidak mengira sama ada untuk pelancong tempatan atau asing. Walaupun hanya terdapat kira-kira tiga puluh ribu penduduk yang tinggal di kawasan dataran tinggi ini, terdapat kira-kira 700 ribu pengunjung yang datang untuk menikmati angin sejuk dan suasana yang nyaman di sini setiap tahun, walaupun jumlahnya kadang-kala berubah-ubah dari tahun ke tahun.
Sebagai salah satu daripada sebelas daerah di negeri Pahang, ia terdiri daripada tiga mukim yang utama, iaitu Ringlet, Tanah Rata dan Ulu Tenom. Jika dibandingkan dengan mana-mana daerah atau konstituensi lain di negeri ini, Cameron Highlands adalah habitat kepada pelbagai jenis bunga yang jarang-jarang sekali tumbuh di kawasan tropika, serta merupakan kawasan yang mempunyai ekosistem yang sama sekali berbeza dengan daerah lain. Orang-orang di bandar ini kebanyakannya berupaya untuk bercakap dalam kedua-dua bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Kebanyakan papan tanda di bandar ini juga ditulis dalam Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.
Oleh kerana kedudukan dan susun atur geografinya, hanya terdapat beberapa cara tertentu sahaja untuk pergi ke Cameron Highlands. Perkhidmatan bas disediakan dari bandar-bandar Ipoh, Kuala Lumpur dan Singapura di sebelah barat serta dari Gua Musang dan Kuala Lipis di sebelah timur. Semua perjalanan akhirnya akan berhenti di terminal Bas Tanah Rata, yang merupakan satu-satunya terminal bas yang melayani pelbagai perjalanan masuk dan keluar dari kawasan Cameron Highlands.
Di samping itu, anda juga boleh pergi ke Cameron Highlands dengan menaiki kereta. Jika anda memandu kenderaan anda sendiri, anda perlu keluar dari lebuh raya di susur keluar Tapah dan terus menelusuri sepanjang Laluan 59. Ia akan mengambil masa satu jam dan tiga puluh minit untuk sampai ke bandar Ringlet. Alternatif lain jika anda bertolak dari bandar Ipoh atau bandar-bandar lain di kawasan utara adalah untuk keluar dari Simpang Pulai dan meneruskan perjalanan melalui Laluan 145, yang hanya akan mengambil masa sejam untuk menemukan pekan Kampung Raja.
Untuk mengelilingi Cameron Highlands adalah mudah sekali, memandangkan keluasan tanahnya. Anda boleh sahaja memilih untuk berjalan kaki untuk meneroka bandar Tanah Rata, Brinchang dan lain-lain dengan lebih baik, atau menyewa motosikal atau teksi jika anda mempunyai bajet lebih. Terdapat bas-bas laluan tempatan di antara Tanah Rata - Brinchang - Kea Farm - Tringkap - Kuala Terla - Kampung Raja yang akan bergerak selang sejam juga.
Dengan status Cameron Highlands sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka di negara ini, Cameron Highlands mempunyai banyak tempat yang menarik dari segi tarikan semulajadi serta ladang strawberi dan lembah teh yang beroperasi dengan sekian banyaknya. Selain itu, terdapat banyak rumah-rumah besar, serta hotel dan bangunan yang direka dalam gaya Inggeris yang unik yang jarang ditemui di negeri-negeri lain.
Big Red Strawberry Farm
The Big Red Strawberry Farm adalah salah satu pengendali ladang strawberi di sekitar Cameron Highlands dengan pemandangan indah dan hiasan laman yang begitu memukau. Terletak kira-kira 4.6 kilometer jauhnya dari Tanah Rata, beberapa aktiviti utama di sini yang boleh dilakukan oleh pengunjung termasuk memetik buah strawberi segar selain berjalan-jalan di sekitar ladang dengan rakan-rakan dan keluarga. Terdapat juga sebuah kafe di dalam ladang ini yang menyajikan pelbagai jenis pencuci mulut berasaskan strawberi untuk pengunjung merasai sendiri keenakan buah strawberi yang ditanam di sini. Caj masuk ke sini dikira secara percuma, namun setiap buah strawberi yang dipetik akan dikenakan caj sebanyak dua puluh lima ringgit untuk setiap setengah kilogram dan empat puluh ringgit sekilogram.
Cameron Highlands Butterfly Farm
Merupakan salah satu tarikan pelancong tertua di sekitar dataran tinggi ini, Cameron Highlands Butterfly Farm mula beroperasi pada tahun 1990 sebagai hobi penggemar rama-rama yang suka mengumpul dan menghargai makhluk Tuhan yang berwarna-warni ini. Akhirnya koleksi itu semakin besar sehingga menjadi sebuah pusat pameran yang dibuka kepada orang ramai. Ditemui dalam kawasan Kea Farm di samping pelbagai tarikan lain, terdapat pelbagai spesies kupu-kupu yang ditempatkan di sini bersama-sama dengan serangga lain seperti kumbang, mantid dan phasmid dengan bentuk dan saiz yang berbeza.
Cameron Bharat Tea Estate
Terletak empat kilometer ke arah selatan Tanah Rata, Cameron Bharat Tea Estate merupakan ladang teh yang penting dengan kafe yang disediakan khusus untuk menyajikan minuman teh terbaik kepada pengunjung dan pecinta teh. Dimiliki oleh Bharat Group, yang merupakan pengeluar teh kedua terbesar di Cameron Highlands, pengunjung boleh menikmati pemandangan ladang teh yang begitu menarik dan boleh beramah mesra dengan petani dan pemetik daun teh. Selain itu, mereka juga boleh menikmati secawan teh dan pelbagai makanan lain di kafe juga, yang merupakan sesuatu yang perlu dicuba kerana terdapat campuran teh unik Cameron Highlands yang disajikan di sini. Estet ini dibuka setiap hari dari pukul 8.30 pagi hingga pukul enam petang.
Tokong Sam Poh
Tokong Sam Poh adalah salah satu struktur keagamaan terbesar di Cameron Highlands yang didedikasikan kepada sida-sida Cina, Zheng He atau Cheng Ho yang juga merupakan laksamana armada Cina. Dikatakan tokong ini menempatkan patung Buddha keempat terbesar di Malaysia, tokong ini dibina pada tahun 1972 di puncak bukit kecil yang sedikit terkeluar dari jalan utama.
Makanan bukanlah masalah utama di Cameron Highlands dengan pelbagai kafe dan restoran yang sedia untuk melayani pengunjung dengan hidangan yang terdiri daripada masakan Barat, Cina dan juga tempatan seperti nasi lemak. Oleh itu, tidak ada kekurangan pilihan ketika berada di sini dan jika anda suka sarapan pagi Inggeris dengan minuman teh dan strawberi, Cameron Highlands adalah tempatnya.
Buah Strawberi
Terdapat begitu banyak ladang strawberi yang beroperasi di sini, menjadikannya mustahil untuk tidak mencuba dan memakan buah strawberi sekurang-kurangnya sekali apabila seseorang datang untuk bercuti di Cameron Highlands. Oleh kerana iklim di dataran tinggi yang sedikit berbeza, buah strawberi menjadi salah satu buah yang paling banyak ditanam dan boleh didapati di mana sahaja di sekeliling Cameron Highlands. Ia tidak menghairankan untuk menemukan hidangan yang menjadikan buah strawberi sebagai unsur utama, bahkan terdapat pelbagai hidangan berasaskan strawberi di sini, seperti jem strawberi, ais krim strawberi, scone strawberi dan banyak lagi. Sebagai contoh, di Pasar Malam Brinchang, seseorang dapat mencari strawberi yang dicelup coklat sebagai manisan istimewa yang popular.
Teh dan Scone
Teh juga disajikan secara meluas di sekitar Cameron Highlands, sekali lagi kerana daun teh ditanam secara meluas di sekitar kawasan itu. Oleh itu, seseorang boleh saja pergi ke mana-mana restoran di sini dan memesan minuman teh tanpa banyak masalah. Walau bagaimanapun terdapat sesetengah minuman teh yang unik dan tersendiri yang boleh dinikmati dengan lebih baik di pelbagai kafe-kafe khusus yang terdapat di ladang-ladang teh tertentu, seperti Boh Tea Center. Selain itu, disebabkan oleh pengaruh penjajah British, hidangan barat yang lazat seperti scone dan sarapan pagi Inggeris dan roti bakar adalah sesuatu yang biasa di sini, dengan hotel dan chalet seperti Bala’s Holiday Chalet dan Cameronian Inn menghidangkannya setiap hari.
Brinchang Mossy Forest
Pengunjung yang berminat untuk pergi melakukan ‘jungle trekking’ boleh menuju ke Brinchang Mossy Forest yang terdapat di Hutan Simpan Batu Gangan. Seperti namanya, seluruh kawasan hutan diliputi oleh lumut, menyebabkan beberapa jurupandu juga menamakannya sebagai Lord of the Rings Forest atau Fantasy Forest. Ini adalah kerana kelembapan udara yang boleh didapati dari awan rendah, menjadikan biotope ideal untuk pertumbuhan lumut, pakis, lichen dan orkid. Hutan ini juga adalah habitat kepada serangga lain, ular, katak, burung dan mamalia yang telah berjaya beradaptasi dengan persekitaran sedemikian. Oleh itu, adalah dinasihatkan untuk pengunjung datang dengan jurupandu berpengalaman kerana mereka sudah biasa dengan tempat itu dan akan mengetahui laluan terbaik untuk diambil di samping untuk mengelakkan anda daripada tersesat jauh.
Dengan pakej tiket penerbangan dan hotel yang tersedia di Traveloka Malaysia, anda boleh mengunjungi Cameron Highlands dengan lebih mudah dan murah. Pilih pelbagai pakej pelancongan yang kami tawarkan dan ubah suai pakej-pakej tersebut seperti yang anda mahukan untuk mendapatkan kombinasi yang paling sesuai.
Idea Rancangan Hari Pertama
Idea Rancangan Hari Kedua
Idea Rancangan Hari Ketiga